SELANGOR FC
BERITA

Previu Perlawanan MFLCC | Selangor FC vs PDRM FC | Fokus untuk Menang

Feb 15, 2025 - FAS

Perlawanan Akhir 1 MFL Challenge Cup 2024/25 bakal menyaksikan pasukan Selangor FC menentang PDRM FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya jam 9 malam ini.

Selangor FC mara ke perlawanan Akhir dengan keputusan 2-0 secara agregat menentang Penang FC pada 2 Februari yang lalu. Baca lebih lanjut reviu perlawanan di sini.

Katsuhito Kinoshi, Ketua Jurulatih Selangor FC, menyatakan persembahan atas padang yang akan tentukan.

“Saya percaya kami telah membuat persiapan yang sangat baik untuk perlawanan ini. Kami telah memberi tumpuan kepada aspek teknikal dan taktikal, terus kerja keras dan berikan dedikasi yang tinggi semasa beraksi. Bagi saya, keputusan akan datang secara tidak langsung, tetapi usaha dan kerja keras haruslah seratus peratus,”

“Daripada terlampau fikirkan kelebihan yang kami miliki, kami perlu fokus untuk berikan persembahan yang terbaik, kerana itu yang akan menentukan segalanya. Saya percayai pemain sepenuhnya untuk perlawanan malam ini. Persiapan yang telah kami lakukan bukan sahaja untuk pemain, kakitangan, dan pengurusan, tetapi juga untuk para penyokong Gergasi Merah,” jelas Kinoshi dalam sidang media perlawanan Akhir 1 MFL Challenge Cup 2024/25.

Bagi keberadaan pemain, Noor Al-Rawabdeh telah melepasi bulan kedua pemulihan selepas mengalami kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL). Begitu juga Mohammad Abualnadi, beliau tidak dapat bersama pasukan atas faktor kecederaan di bahagian hamstring. Selain daripada mereka, kesemua pemain Gergasi Merah bersedia untuk diturunkan pada malam ini. 

Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan untuk perlawanan Akhir 1 MFL Challenge Cup pada malam ini. Kami sentiasa berada di belakang pasukan tidak kira yang mendatang. Ayuh, Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!